Sabtu, 16 November 2013

Terapi Istighfar

Saya pernah mendengar kisah dari seorang Tuan Guru yang terkenal di tanahair. Kisah seorang kenalannya. Pengidap cancer stage 4. Menurut ramalan doctor pesakit itu hanya punya masa beberapa minggu lagi sebelum menemui tuhan. Pesakit itu keluar dari hospital dan pulang ke rumah. Beliau pasrah. Namun sentiasa beristighfar( istighfar Nabi Yunus as) hampir  tanpa henti, ribuan kali sehari. Alhamdulillah beliau disembuhkan oleh Allah swt. Keajaiban terjadi , beliau disahkan bebas dari serangan cancer oleh pakar perubatan.  Beliau menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi merasai lebih hampir kepada Allah swt.
   
Penyelesaian Kepada Kemarau,Kemisikinan,Mandul dan Kemelesetan

Al-Qurtubi meriwayatkan dari Ibnu Shabih. Suatu hari seorang datang mengadu kepada Hasan al-Basri tentang  kemarau yang berpanjangan.Al-Hasan berkata kepadanya “Beristighfarlah kepada Allah swt”. Kemudian datang pula seorang lelaki lain, mengadu akan kemiskinannya. Al-Hasan juga berkata “Beristighfarlah kepada Allah swt”.

Ada pula lelaki lain berkata "Doakanlah supaya Allah swt memberikan ku anak.” Beliau(Al-Hasan) berkata “Beristighfarlah kepada Allah”.

Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan. Beliau berkata “Beristighfarlah kepada Allah swt”.

Ar-Rabi berkata kepada Al-Hasan “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai jenis perkara tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua berintighfar kepada Allah swt”

Hasan Al-Basri  menjawab “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri.Tidakkah engkau membaca firman Allah swt:

“Aku katakan kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak2 mu dan mengadakan (pula di dalamnya) untuk mu sungai2” (Surah Nuh: 10 - 12)

Allahuakbar saudaraku semua itu baru ganjaran di dunia, alangkah hebatnya ganjaran di akhirat kelak.

Penyelamat Siksaan

Tidakkah cukup bagi kita kelebihan beristighfar sebagai pelindung mukmin dari siksaan?. Diantaranya di dunia ini ada dua pekara yang menjauhkan kita dari siksaan . Pertama telah wafat yang tinggal hanya yang kedua:

 “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)”
(Surah Al-Anfal ayat 33).

Kemudahan bagi kesempitan, kesenangan bagi kesedihan dan rezeki tanpa diduga

Tahukah kita akan keajaiban disebalik istighfar itu?

“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Nabi saw juga sentiasa beristighfar  seperti dalam hadis ini :

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan oleh Imam Turmidzi)


Rabu, 13 November 2013

Ruqyah Ibn Mas’ud r.a

Ruqyah Ibn Mas’ud r.a





Saya pernah ditanya bagaimana memilih ayat-ayat suci Al-Quran untuk dijadikan jampi atau Ruqyah di dalam bahasa Arab. Di dalam enty  http://pakcikrah.blogspot.com/2013/11/bacaan-asas-rawatan-gangguan-makhluk.html ada saya kongsikan. Kali ini ingin saya kongsikan kisah sahabat Rasullah saw ,Ibnu Mas’ud menjampi seorang lelaki. Terdapat dua versi yang pernah saya temui.

Versi Pertama(Dari Kitab Laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan –Karya Imam Suyuthi)

Al-Hakim, Abu Ya’la, Ibn Abi Hatim, Al-Uqaili, Abu Nu’aim – dalam Al-Hulyah- dn Ibnu Mardawaih meriwayatkan dari Ibnu Ma’sud ra,beliau berkata,’Ketika saya dan Rasulullah saw berada di sebahagian jalan Kota Madinah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang kerasukan jin. Sayapun mendekatinya.Lalu saya membaca di telinganya,kemudian dia sedar. Rasulullah saw bertanya,’apa yang telah engkau bacakan di telinganya?’ Saya menjawab, ‘Saya membacakan ayat,

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”(ayat 115 surah Al-Mukminun)Rasulullah saw bersabda,”Demi yang jiwaku berada di tanganNYA,andai seorang mukmin membacanya di atas bukit,pastilah bukit itu akan lenyap.”


Versi Kedua(Dari Kitab tafsir ad-Durrul Manthur)


Al-Hakim, Abu ya’la, Ibn abi Hatim, Ibn sunni dan al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahawa beliau telah membacakan ayat-ayat ini ke telinga seorang pesakit, lalu sembuhlah dia. Nabi s.a.w. telah bertanya kepadanya: “Apakah yang dibacanya itu?” Beliau menjawab: “ayat-ayat terakhir daripada surah al-Mu’minun.” Nabi bersabda: “Demi Tuhan yang nyawaku berada pada tangan-Nya, jika dibaca oleh seseorang kamu dengan yakin kepada gunung nescaya akan pecah gunung itu.” (ad-Durrul Manthur, tafsir ayat 115-118, surah al-Mu’minun)

Sabtu, 9 November 2013

Mampukah Manusia Memasuki Alam Jin?

Kisah manusia berada di alam Jin samada memasukinya sengaja atau tidak, biasa kedengaran di sana sini. Adakah ia pernah terjadi di zaman dahulu?

Saya menemui kisah manusia ditawan memasuki alam Jin di zaman saidina Umar ra seperti yang dikisah oleh Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya Laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan.
Ibnu Abi Ad-Dunya menyampaikan dari Abdul Rahman bin Abi Laila bahawasanya seorang lelaki kaumnya keluar mengerjakan solat Isyak kemudian beliau hilang. Isteri lelaki yang hilang itu kemudiannya menemui Saidina Umar bin AlKhataab r.a mengadu halnya. Umar r.a memintanya menunggu sehingga 4 tahun jika ingin bernikah dengan lelaki lain. Setelah 4 tahun berlalu  Umar ra membenarkan perempuan tersebut bernikah.

Namun suaminya yang pertama tiba-tiba muncul. Merekapun mengadukan masalah ini kepadai saidina Umar r.a.  Lalu Umar r.a. mempersoalkan tentang kehilangan lelaki itu.  Lelaki itu memberikan keterangannya, “sesungguhnya aku terhalang”. “Apa yang menghalangmu?”.Soal Umar r.a.Lelaki itu memberikan keterangannya, “Aku keluar untuk mengerjakan solat Isyak,kemudian jin-jin memyembunyikanku. Aku berada di antara mereka dalam waktu yang lama. Mereka diserang oleh jin-jin mukmin dan merekapun membalas serangan itu. Namun kemudian jin-jin mukmin mengalahkan mereka. Mereka menjadi tawanan jin-jin mukmin termasuk aku.Jin-jin mukmin bertanya kepadaku,”Apa agamamu?”.”Saya muslim”, jawabku.Mereka berkata,”Kamu beragama sebagaimana agama kami, maka kami tidak boleh menawanmu”. Mereka memberi pilihan kepaduku samada ingin tinggal bersama mereka atau kembali ke alam manusia. Maka aku memilih untuk kembali. Kemudian Umar r.a memberi pilihan kepadanya antara isterinya atau mahar.

Kisah ini memberikan kita beberapa maklumat. Diantaranya manusia menjadi tawanan Jin kafir lantas memasuki alam Jin. Berlaku peperangan antara Jin Islam dan Jin Kafir. Jin mukmin mematuhi syariat dan amat menyantuni saudaranya manusia yang mukmin.
Terdapat juga kisah yang hampir sama di zaman Nabi saw seperti yang pelajari dari Yang Mulia Ustaz Harun bin Din. Beliau juga menulis pekara di dalam bukunya seperti ringkasan di bawah.

KISAH KHURAFAH


Pada zaman Rasulullah saw ada seorang sahabat yang bernama Khurafah didapati hilang secara tiba-tiba. Keluarganya bertemu Rasulullah SAW menceritakan perihal kehilangan Khurafah Tidak berapa lama selepas itu, Khurafah muncul semula dan menceritakan mengenai pengalamannya membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, dia dapati berada dalam masyarakat seperti manusia tetapi penuh dengan keganjilan.

Khurafah dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu dan mereka menuntu dia dibalas bunuh. Khurafah dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguam bela dan sebagainya.

Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukan hujah dan berkata : "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh salah seorang anggota daripada masyarakat kita (Bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukanlah berniat membunuh orang kita (Bunian) tetapi membunuh musuh di alamnya". Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.

Apabila berita ini disampaikan kepada Rasulullah, ramai para sahabat mempertikaikannya. Rasulullah SAW berkata :- 




Ertinya : "Khurafah (bercakap) benar... [1]

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya Khurafat. Asal istilah Khurafat itu adalah kisah benar daripada individu yang bernama Khurafah.


Sumber : Buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus; Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

[1] 'Ala' al-Din 'Ali ibn Husam al-Din al-Muttaqi al-Hindi al- Burhanfuri (1985), Kanz al-'Umman fi Sunan al-Aqwal wa al-Af'al, Kitab 'Akhlak Min Qism al-Aqwal no. hadith : 8244. Beirut : Mu'assasah al-Risalah, jilid 3, halaman 62

Isnin, 4 November 2013

Bacaan Asas Rawatan Gangguan Makhluk Halus

Fadhilat Ayat-ayat al-Quran yang dipetik dari kitab laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan Karya Imam Jalaluddin As Suyuthi(bacaan ini diantara menjadi asas rawatan gangguan makhluk halus yang saya praktikan):

Ibnu Dhurais menyampaikan dalam Fadhailul Quran dari Qatadah bahawasanya dia berkata, “Sesiapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur,maka dua malaikat ditugaskan untuk menjaganya hingga masuk waktu pagi.”

Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Imam, dari Abu Hurairah ra Rasulullah saw bersabda,
“Dalam surah Al-Baqarah,terdapat ayat yang menjadi ‘pemuka’ bagi ayat-ayat al-Quran yang   tidaklah dibaca dirumah yang di dalamnya terdapat syaitan,melainkan syaitan itu keluar lantaran ayat Kursi.”

Ad-Darimi, Ibnu Mundzir dan Thabarani meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa dia berkata,
“Sesiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah Al-Baqarah dalam satu malam,maka syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah itu pada malam hari hingga masuk waktu pagi. Empat ayat permulaannya,ayat Kursi,dua ayat setelahnya dan tiga ayat penutupnya”(284,285,286).

Ad-Darimi dan Ibnu Dhurais meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa dia berkata,
“Sesiapa yang membaca empat ayat dari permulaan surah Al-Baqarah, ayat Kursi,dua ayat setelahnya dan tiga ayat terakhir dari surah Al-Baqarah, maka ia dan keluarganya tidak akan didekati syaitan pada hari itu,tidak pula sesuatu yang tidak disukainya pada keluarga dan hartanya dan tidaklah dibacakan kepada orang gila melainkan dia sedar.”

Ibnu Abi Ad-Dunya meriwayatkan dalam kitab Doa dan Al-Khatib dalam Tarikh-nya,dari Hasan bin Ali bahawasanya dia berkata,
“Aku penjamin orang yang membaca dua ayat ini pada setiap malam; bahawa dia dilindungi Allah swt dari setiap syaitan yang jahat, dari setiap binatang buas yang berbahaya dan dari setiap pencuri yang zalim: ayat Kursi ,tiga ayat dari surah Al-A’raf 54-56, sepuluh ayat yang pertama dari surah Ash-Shaffat,tiga ayat dari surah Ar-Rahman 33-35 dan penutup surah Al-Hasyr.”

Ibnu Abi Ad-Dunya dan Abu Asy-Syeikh dalam tafsirnya menyampaikan dari Ubaidillah bin Marzuq bahawasannya di berkata,
“Siapa yang membaca pada masa ketika hendak tidur,tiga ayat dari surah Al-A’raf 54-56,maka disediakan malaikat yang menemaninya hingga ke pagi”.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih,dari Abu Umamah,dia berkata,
“Siapa yang berlindung kepada Allah swt dari Syaitan tiga kali,kemudian membaca akhir surat Al-Hasyr,maka Allah swt mengutus 70,000 malaikat yang mengusir syaitan-syaitan manusia dan Jin darinya.Jika itu pada waktu malam,maka hingga masuk waktu pagi.Dan jika pada waktu siang,maka hingga masuk waktu petang”.

Ibnu Asakir menyampaikan dari Ali bahawasanya dia berkata,

“Rasulullah saw bersabda,’Siapa yang mengerjakan solat Fajar,kemudian dia tidak berbicara hingga membaca surah Al-Ikhlas 10kali, maka pada hari itu tiada dosa yang menimpanya,dan dia dilindungi dari syaitan”. 

Rujukan Alam Jin - Kitab Laqth Al-Marjan

Semalam saya berkongsi kisah Cucu Iblis masuk Islam yang dipetik dari kitab Laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan. Ada baiknya saya kongsikan latarbelakang kitab dan penulisnya.

Latar belakang kitab Laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan

Imam As-Suyuthi memberi nama kitab ini sebagai Laqth Al-Marjan Fin Ahkamil Jan. Kata ‘Laqth’ dengan huruf Qaf berbaris sukun bererti mengambil(al-akhdz).Kalimat laqatal ‘ilm laqthan bererti mengambil ilmu dari kitab ini dan dari kitab itu.Kitab ini sebenarnya adalah ringkasan kitab Ahkamul Marjan Fi Ahkamil Jan karya Imam Asy-Syibli kemudian ditambah oleh Imam As-Suyuthi.

Imam Asy-Syibli:
1. Syekh Imam Al-Qadhi Badruddin Abu Abdillah Muhamad bin Abdillah Asy-Syibli
        Ad-Dimasyqi, wafat 769H
2. Penulis Kitab Akamul Marjan Fi Ahkamil Jan. Juga mengarang kitab Al-Yanabi’.
3. Seorang hakim dan Ahli hadith.
4. Imam Ibnu Hajar berkata tentangnya,”Imam Asy-Syibli adalah murid Imam Adz-Dzahabi”.

Imam As-Suyuthi:

1. Imam Jalaluddin As-Suyuthi atau nama penuh beliau Abu al-Fadl 'Abd al-Rahman b.
        Abi Bakr b. Muhammad Jalal al-Din al-Khudayri al-Suyuti, juga dikenali 
        sebagai Ibn al-Kutub  lahir di Asyut,Mesir tahun  847H,wafat 911H.
2. Menguasai pelbagai cabang Ilmu. Seorang Ulama Fiqh pembaharuan yang menguasai 
        4 mazhab pada abab ke 10 hijrah.Bermahzab Syafie.  Imam ahli tafsir dengan kitab 
        Ad-Durr Al-Mantsur Fit Tafsir bil Matsur. Imam Al-Hafiz dalam bidang hadith dengan
         kitab hadith Jam’ul Jawami atau lebih terkenal sebagai Jami’ As-Suyuthi Al-Kabir.
3. Diantara Karya-karya yang terkenal:
• Al-Itqān fi ‘Ulum Al-Qur’an
• Tafsir al-Jalalayn
• Al-Tibb al Nabawî,
• Al-Jaami' al-Kabîr
• Al-Jaami' al-Saghîr
• Dur al-Manthur
• Alfiyyah al-Hadith
• Tadrib al-Rawi
• Tarikh al-khulafa
• Al-Khulafah Ar-Rashidun
• Tabaqat al-huffaz
• Nuzhat al-julasāʼ fī ashʻār al-nisāʼ
• Al-Khasais-ul-Kubra
• Al-Muzhir.

4. Pengarang kitab Laqth Al-Marjan Fi Ahkamil Jan yang merupakan tambahan dan
        ringkas kitab Akamul Marjan Fi Ahkamil Jan karya Imam Asy-Syibli. Mengenai
        Kitab Laqth Al-Marjan Imam As-Suyuthi berkata, “Kitab ini saya ringkan dan
        saya tambahkan menurut keinginan saya”.
5. Menjadi seorang ‘penerbit’ pada zamannya dengan lebih dari 725 karya ilmiah.
6. Memiliki karya ilmiah dalam setiap cabang ilmu kecuali ilmu mantiq dan hisab.
7. Hidup sepanjang lima belas orang sultan Mesir,bergaul dengan mereka dengan
        sikap menjaga diri,kehormatan dan keagungan. 

Ahad, 3 November 2013

Cucu Iblis Masuk Islam Riwayat Imam Al-Sayuti

Saya pernah berkongsi kisah keturunan Iblis masuk Islam dari riwayat Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab beliau al-Isabah. Kali ini ingin dikongsikan kisah yang hampir sama dari riwayat Imam Jalaludin Al-Sayuti(Lahir 847H) di dalam kitabnya Laqth Al-Marjan.

Al-‘Uqaili meriwayatkan dalam Adh-Dhu’afa, demikian juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dan Al-Baihaqi dari Umar ra bahawasanya beliau berkata,

“Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di atas bukit Tihamah, tiba-tiba seorang tua datang yang di tangannya ada sebatang tongkat.Lalu beliau mengucapkan salam kepada Nabi saw dan baginda saw menjawab salamnya.Rasulullah saw bertanya kepadanya,’Siapakah engkau?”. “Saya adalah Hamah bin Al-Ahyam bin Al-Aqyas bin Iblis”, jawabnya. Nabi saw bersabda,”Antara engkau dan Iblis ada dua generasi, berapa usiamu?’. Ia menjawab,” Saya telah hidup sebahagian besar dari usia dunia.Pada malam Qabil membunuh Habil,saya masih kanak-kanak, akan tetapi saya telah memahami percakapan.Saya memperoleh balasan batu permata,saya memerintahkan merosakan makanan dan memutuskan silahtulrahim”. Rasulullah bersabda,”Seburuk buruk perbuatan orang tua dan muda yang tercela’.Ia berkata,”Berilan saya perbekalan, saya telah bertaubat kepada Allah swt. Saya pernah bersama Nabi Nuh as di tempat ibadahnya bersama kaumnya yang beriman. Saya menentang dakwahnya hingga Nabi Nuh as menangis dan tangisan baginda as membuat saya juga menangis. Saya menyesal atas semua itu dan saya berlindung kepada Allah swt agar tidak dimasukan kedalam golongan orang yang jahil”. Kemudian saya berkata, “Wahai Nuh as, sesungguhnya saya termasuk seorang yang menumpahkan darah seorang syahid dan bahagia,iaitu Habil putera Adam as, adakah Allah swt. menerima taubat saya?’. Lalu Nuh as menjawab,”Wahai Hamah, berniat baik dan laksanakanlah kebaikan sebelum tiba penyesalan.Saya telah membaca firman Allah swt yang diturunkan kepada saya, bahawa Allah swt menerima taubat setiap hamba yang bertaubat kepadaNYA walaupun dosanya sangat banyak.Berdiri dan berwuduklah, kemudian sujud dua kali.” Maka saya terus melakukannya.Kemudian Nuh as memanggil saya, “Angatlah kepalamu,taubatmu telah diterima.” Sayapun bersimpuh sujud. Kemudian Hamah meneruskan lagi,”Saya pernah bersama Hud as di tempat ibadatnya bersama kaumnya yang beriman.Saya terus menegurnya terhadap dakwahnya kepada umatnya hingga dia menangis dan membuat saya ikut menangis. Saya sering mengunjungi Ya’qub as. Saya bersama Yusuf as di tempat yang aman. Saya berbuat baik kepada Ilyas as. Saya bertemu Musa as, dia mengajarkan sebahagian isi taurat kepada saya. Musa as berpesan,”Jika engkau bertemu dengan Isa putera Maryam,sampaikan salamku kepadanya”.Maka saya sampaikan salam Musa as kepada Isa as. Kemudian Isa as berpesan kepada saya,”Jika engkau bertemu dengan Muhamad saw, sampaikan salamku kepadanya”. Kemudian dia menyampaikan salam itu kepada Rasulullah saw. Lalu baginda saw menangis dan bersabda,”Keselamatan untuk Isa selama usia dunia.Keselamatan juga bagimu wahai Hamah,kerana engkau telah menyampaikan amanah”.Hamah berkata,”Wahai Rasulullah saw,lakuanlah kepada saya apa yang telah dilakukan Musa as. Sesungguhnya dia telah mengajarkan sebahagian dari Taurat kepada saya”.Maka Rasullullah saw mengajarkan surah Al-Waqi’ah,Al-Mursalat,An-Naba’,At-Takwir,Al-Falaq,An-Nas dan Al-Ikhlas kepadanya. Kemudian Rasullullah saw bersabda,”Sebutlah keperluanmu kepada kami,wahai Hamah dan jangan bosan mengunjungi kami”. Umar ra berkata,”Ketika Rasulullah saw wafat,dia tidak datang kepada kami,saya tidak tahu samada beliau masih hidup atau telah wafat”.

Kisah seperti ini juga terdapat dalam riwayat Anas ra.Disebutkan Abdullah bin Ahmad di dalam Zawdiduz Zuhd, diriwayatkan oleh Al-‘Uqaili dan Asy-Syirazi di dalam Al-Algdb, Abu Nu’aim dan Ibnu Mardawih dari hadith Ibnu Abbas,disebutkan Al-Fakihi di dalam kitab Mekah,terdapat beberapa riwayat lain sehingga sampai kepada darjat hadith hasan.


Abu Ali bin Al-Asy’ats meriwayatkan dalam kitab  As-Sunan,dari ‘Aisyah r.a beliau berkata,”Rasulullah bersabda,’Sesungguhnya Hamah bin Al-Agyas berada dalam syurga.’”     

Sabtu, 2 November 2013

Konsep Perubatan Islam

Perubatan Islam

Istilah yang biasa difahami oleh masyarakat umum biasanya tidak memberi makna yang menyeluruh. Pengertiannya bergantung kepada tanggapan yang dihasilkan oleh media arus perdana. Begitulah juga istilah Perubatan Islam. Ruqyah ayat-ayat al-Quran dan Sunnah adalah diantara keadah rawatan yang diajarkan oleh Nabi saw, tetapi menghadkan bahawa itulah satu-satu kaedah ‘Perubatan Islam’ maka di sinilah pemahaman itu perlu dilihat semula.

Al-Harith Bin Kaladah adalah merupakan pakar perubatan arab di zaman Nabi saw yang dirujuk oleh para sahabat Nabi Saw, menurut Ibn Hajar Al-Asqalani beliau tidak menganut Islam.Hal ini memberikan tasawur/gambaran umum bahawa Islam mengaktiraf mana-mana perubatan yang dapat memberi manafaat dan tidak bertentangan dengan syarak.

Istilah ‘Perubatan Islam’  tidak hanya merujuk kepada jampi atau bahan-bahan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w sahaja. Berubat memang disuruh oleh Islam. Apa sahaja ubat yang mengikut kaedah perubatan yang betul maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak. Ini termasuk perubatan dan ubat yang disebut oleh Nabi s.a.w, atau selainnya yang mengikut disiplin ilmu perubatan.

Maka, perubatan moden, atau cina, atau india, atau melayu yang berasaskan kaedah yang benar, bukan haram, khurafat atau syirik maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam. Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.
Nabi s.a.w dalam hadis menyebut perubatan dan ubat secara umum, tanpa menghadkannya. Maka, setiap orang hendaklah berusaha mencari ubat yang paling berkesan. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w bersabda:

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Juga sabda baginda:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H):
“Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya..” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
  
Adapun hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang ubat-ubat tertentu seperti hadishabbatus sauda’ (jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta dan seumpamanya; para ulama berbeza pendapat tentangnya. Ada yang berpendapat hadis-hadis ini berasaskan wahyu. Ada pula yang berpendapat bahawa hadis-hadis ini Nabi s.a.w sebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman baginda hidup, bukanlah wahyu daripada Allah S.W.T.

Secara umumnya terdapat dua aliran sarjana Islam mengenai perbuatan nabi saw yg bersangkut dgn urusan keduniaan:
1)      Termasuk dalam urusan wahyu
2)      Tidak semestinya wahyu

1)Aliran pertama(Termasuk di dalam urusan Wahyu)

Secara umumnya, ulama Hadis cenderung kepada pendapat bahawa hadis-hadis perubatan yang sahih itu berasaskan wahyu. Hujah surah An-Najm 3-4.Dengan lain perkataan ia adalah perkhabaran daripada Allah S.W.T kepada nabiNya s.a.w. Maka, semuanya kandungannya benar tepat dan untuk diamalkan. Ertinya, ia perubatan yang mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T . Maka, dalam kitab-kitab hadis didetilkan perkara-perkara ini sehingga dalam Sahih al-Bukhari ada Kitab al-Tibb (Kitab Perubatan). Ada bab dalam kitabnya nabi saw berbekam semasa musafir, bab bila masa nabi berbekam.

Ibn al-Qayyim Jauziah dalam al-Tibb al-Nabawi juga  berpegang dengan pendapat ini. Namun begitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) yang menulis kitab al-Tibb al-Nabawi (perubatan kenabian) sendiri mengingatkan dalam kitabnya al-Manar al-Munif bahawa salah satu ciri hadis palsu itu; hadis yang lebih berunsur ungkapan para pengamal perubatan yang dibuktikan oleh pancaindera atau fakta yang sahih tentang kepalsuannya. Dalam ertikata lain, di zaman sekarang jika fakta sains berjaya membuktikan kesalahan fakta hadis tersebut, maka itu salah satu ciri bahawa ia hadis yang palsu.

Satu contoh yang jelas hadis: “Terung itu mengikut hajat ia dimakan” dan hadis “Terung itu ubat untuk segala penyakit”. Ini adalah riwayat palsu. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:
“Semoga Allah menghodohkan pereka kedua hadith di atas. Perkara seperti ini jika disebut oleh orang yang paling pakar dalam perubatan pun, orang ramai akan mentertawakannya. Jika dimakan terung untuk demam panas, kemurungan dan banyak penyakit lain, ia hanya menambahkan keburukan lagi. Jika orang fakir makan agar dia kaya, dia tidak akan kaya. Jika orang jahil makan untuk pandai, dia tidak akan pandai” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 51. Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyat).
  
Maka, banyak dakwaan yang dikatakan bersumberkan hadis, seperti makan kismis menguatkan ingatan tiada dalil yang sahih daripada Nabi s.a.w mengenainya. Ibn al-Qayyim sendiri menyebut dalam al-Tibb al-Nabawi bahawa ada dua hadis yang disebut tentang kelebihan kismis, tetapi kedua-duanya tidak sahih. Cumanya, ada riwayat daripada al-Zuhri beliau menyatakan kismis bermanfaat untuk ingatan. (lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, 4/318

2)Aliran Kedua(Tidak semestinya wahyu)

Aliran kedua seperti al-Qadi ‘Iyadh, Ibn Khaldun, Muhammad Abu Zahrah berpendapat bahawa hadis-hadis perubatan ini bukan berteraskan wahyu, sebaliknya Nabi s.a.w bercakap berdasarkan pengalaman dan persekitaran baginda ketika itu. Bagi ulama yang berpegang dengan pendapat ini mereka menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak diutuskan sebagai ahli perubatan dan itu bukan tujuan baginda diutuskan. Maka, ucapan atau tindakan baginda dalam perubatan sama seperti ahli masyarakat Arab lain ketika itu dan tidak semestinya tepat dengan realiti perubatan. Antara yang berpegang dengan fahaman ini al-Imam Ibn Khaldun (w. 808H) dalam kitabnya al-Muqaddimah.

Kata Ibn Khaldun:
“Maka perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah dari jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi s.a.w dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi s.a.w diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, 493-494. Beirut: Dar al-Fikr).

Antara alasan golongan yang berpendapat bahawa perubatan Nabi s.a.w berasaskan kebiasaan dan pengalaman bukannya wahyu ialah hadis sahih yang mana Nabi s.a.w pernah melihat sahabat mengahwinkan pokok tamar, lalu baginda bersabda:
“Apa yang sedang kamu lakukan?”. Jawab mereka: “Kami telah lakukannya sebelum ini”. Jawab baginda: “Barangkali jika kamu tidak buat ia lebih baik”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Mereka menyebut hal tersebut kepada Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lain, baginda saw menjawab:
“Jika itu memanfaatkan mereka maka lakukanlah. Aku hanya menyangka satu sangkaan, maka jangan salahkan aku atas sangkaan. Namun, jika aku memberitahu sesuatu daripada Allah maka ambillah, kerana sesungguhnya aku sama sekali tidak akan berdusta atas nama Allah” (Riwayat Muslim).

Juga di sana ada dalil-dalil yang lain yang menunjukkan bahawa adanya tindakan dan perkataan Nabi s.a.w itu berasaskan kebiasaan, atau pengalaman atau pandangan baginda dan bukannya wahyu. Ini termasuk pemilihan tempat yang baginda buat dalam Perang Badar yang kemudian dicadangkan tempat yang lain oleh Hubbab bin Munzir ra dan baginda saw mengubah pandangannya dan bersetuju dengan cadangan tersebut. Perkara ini menjadi perbahasan panjang dalam kalangan ulama dalam membezakan sunnah Nabi yang disyariatkan untuk diamalkan dan yang tidak disyariatkan untuk diamalkan.

Secara umumnya tujuan hadis-hadis perubatan ingin memberitahu kita bahawa kita disuruh untuk berubat berasaskan kepada bahan-bahan yang digunakan dalam perubatan yang diyakini boleh memberikan kesan. Nabi s.a.w menyebut bahan-bahan yang ada dalam masyarakat baginda dan digunakan serta memberi kesan pada zaman dan iklim baginda saw. Bahan-bahan itu boleh diambil iktibar, namun bukanlah pilihan yang terbaik bagi setiap masa dan keadaan. Bergantung kepada sejauh manakah ia berkesan untuk sesuatu tempat dan masa. Apa yang penting kita disuruh mencari yang berkesan tanpa mengira jenisnya.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H) ketika mensyarahkan hadis al-Bukhari:
“Habbatus sauda penyembuh bagi segala penyakit”, menyebut: “Ia bermanfaat untuk penyakit yang sejuk, adapun penyakit yang panas tidak!” (Fath al-Bari, 11/290. Beirut: Dar al-Fikr).
Apa yang disebut oleh al-Quran seperti khasiat madu, tiada sebarang syak tentang kewahyuannya. Cumanya, bagaimanakah proses perubatan itu hendak dikendalikan atau kadar dan caranya memerlukan kajian ilmiah perubatan.

Bersambung Insha Allah