Khamis, 26 Jun 2014

Kaitan Saka(sejenis sihir) Dengan Barangan Pusaka


Seperti sihir ‘biasa’ yang mempunyai ‘medium/barangan’, sihir saka juga kadang kala terkait dengan barangan pusaka. Saya kongsikan pengalaman perawat iaitu Ustaz Dr Hj Jahid. Beliau menceritakan kisah ini pada 3 Jan 2014 semasa sessi Seminar Perubatan Islam 2014 di Terengganu. Sebelum itu untuk kebaikan bersama saya kongsikan biodata ringkas Tuan Guru.

TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI  memperoleh Ijazah Sarjana MA di UM dalam bidang Usul Fekah (1975) dan Ijazah Kedoktoran Ph.D daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Usuluddin (Tasawwuf).
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Guru Agama Sekolah antara tahun 1964 – 1969 dan pernah pula dilantik sebagai Guru Penolong Kanan selepas mendapat ijazah pertama. Pada awal tahun 1974 beliau dilantik menjadi Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya; dan telah dilantik menjadi Profesor Madya tahun 1992 dan beliau telah bersara pada akhir tahun 1995, sebagai Pensyarah di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Dalam bidang Rawatan @ Perubatan Secara Islam beliau telah berpengalaman selama 20 tahun dengan memperkenalkan kaedah rawatan menggunakan Teknik pukulan/tepukan/merotan (menggunakan ranting pokok nona), dzikrullah dan doa kepada pelbagai penyakit yang dialami pesakit. Kesungguhan beliau dalam membantu masyarakat terbukti dengan penubuhan Pusat Rawatan Islam MANARAH di Lorong Beringin, Kuang, Selangor Darul Ehsan. Dengan pengalaman yang diperolehi, beliau juga sebagai tempat rujukan orang ramai kerana ditemui pelbagai lapisan masyarakat bagi nasihat, tunjuk ajar serta bimbingan dalam pelbagai masalah yang dihadapi. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang Perubatan Secara Islam telah dimanfaatkan dengan menulis artikel, kertas kerja, dakwah dan membimbing orang ramai melalui media masa, seminar, ceramah dan kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Berbalik kepada tajuk tulisan ini saya kongsikan pengalaman Ustaz Jahid. Kisah ini adalah pengalaman beliau merawat seorang makcik jiran beliau. Makcik ini mengalami gangguan yang agak teruk dan lama(15 tahun) di rawat dipelbagai tempat. Selepas 3 sessi rawatan berlaku dialog di mana Jin pada Makcik itu memberi tahu dia tidak boleh keluar.
Jin  :  “Saya tidak boleh keluar”.
Ustaz Jahid(UJ) : “ Mengapa awak tidak boleh keluar?”
Jin   :  “ Saya tekunci di dalam”
UJ  :  “ Apa kuncinya?”
Jin  :  “Tidak tahu”.” Ustaz, kalau saya masukkan Ustaz ke dalam sebuah bilik kemudian saya kunci dari luar ,Ustaz boleh keluar tak?”.
UJ  :  “Tak boleh keluar.”
Jin  :  “ Saya macam itulah, ustaz carilah kuncinya.”
UJ   :  “ Mana saya nak cari,awak lebih tahu?”
Jin   :  “ Saya tidak tahu apa-apa.”

Kemudian ustaz Jahid meminta ,makcik itu mencari apa-apa barang peninggalan arwah ibunya. Pada mulanya makcik itu mengata tiada sebarang barang peninggalan ibunya. Al maklum almarhumah telah meninggal dunia 20 tahun lalu. Namun Ustaz Jahid meminta beliau cuba mengingatkan kembali walaupun barangan itu hanya sekecil jarum sebatang.

Keesokan harinya makcik itu datang semula ke rumah Ustaz Jahid. Beliau membawa sebuah sikat peninggalan ibunya, di mana sikat itu sering digunakan juga. Lalu Ustaz Jahid mengambil sikit itu dan memasukkannya ke dalam air yang telah diruqyah. Sebaik sahaja sikit itu direndam, makcik tadi yang ketika itu sedang duduk, terus tumbang dan berlaku dialog dengan Jin semalam.
UJ  :  “ Ha macamana kunci dah terbukakah?’.
Jin :  “ Sudah.”
UJ  :  “Awak boleh keluar.”
Jin  :  “ Boleh.”
UJ   :  “ Ikut mana?”
Jin   :  “ Tangan kiri.”
Selepas seminit Makcik tersebut sedar dan Alhamdulillah pulih sepenuhnya.


Kisah pengalaman kedua Ustaz Jahid berkenaan barangan pusaka.
Seorang murid beliau berusia 50an terkena stroke. Selepas dirawat dengan teknik ketukan, beliau sihat semula cuma mulutnya herot sedikit.
UJ  :  “ Saya rasa ini mesti ada barang-barang pusaka yang tersimpan.”
Murid  :  “ Tak ada apa-apa Ustaz.”
UJ  :  “ Tak apalah, cuba hj. Cari juga.”

Hampir satu tahun mukanya herot. Satu hari murid yang herot muka itu masuk ke stor rumahnya dan ternampak sebatang cangkul peninggalan arwah datuknya. Selepas cangkul itu dibawa ke pusat rawatan Ustaz Jahid. Sebaik sahaja cangkul itu dibakar, tiba-tiba mulut lelaki yang herot tadi terus pulih seperti sediakala.


Banyak pengajaran dari kedua-dua kisah di atas.Tetapi saya tidak berhajat mengulasnya buat masa ini.

Rabu, 25 Jun 2014

Khidmat Masyarakat Ikram Johor Baharu Tengah


Siri 2 : Perisai Dari Kejahatan Syaitan


Sambungan dari siri pertama(dinasihatkan membacanya terlebih dahulu)

Perisai 21: Memagar Rumah

Pertama: Berzikir kepada Allah ketika mahu melangkah masuk ke dalam rumah
Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:

“Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan:
Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga.”
– (Riwayat Abu Daud)

Kedua: Memberi Salam Kepada Ahli Keluarga

Ketiga: Berzikir Kepada Allah Ketika Makan dan Minum

Diriwayatkan daripada Jabir r.a., beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”. Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-adab al-Mufrad)

Keempat: Memperbanyakkan Tilawah al-Quran di dalam rumah

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Bersabda Rasulullah saw: “Perumpamaan orang beriman yang membaca al-Qur’an seperti perumpamaan buah al-utrujah (limau) iaitu buah yang berbau harum dan enak rasanya. Perumpamaan orang beriman yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti perumpamaan buah tamar, rasanya manis tetapi tidak ada baunya. Perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang membaca al-Qur’an adalah seperti ar-raihanah yang berbau harum tapi pahit rasanya. Perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti buah al-hanzhalah iaitu buah yang pahit rasanya dan tidak ada baunya. Perumpamaan mendampingi orang yang salih adalah seperti mendampingi pemilik minyak wangi, sekalipun engkau tidak terkena minyaknya engkau tetap mendapat harumnya. Perumpamaan berdamping dengan teman yang jahat adalah seperti mendampingi orang yang menggunakan ububan (alat menghembus api), jika engkau tidak terkena hitamnya (daripada percikan api), namun engkau tetap terkena asapnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kelima: Membersih suasana rumah dari suara-suara iblis
Yang dimaksudkan suara iblis itu ialah nyanyian dan lagu (muzik)

Keenam: Membersih suasana rumah dari bunyi loceng

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw: Loceng (muzik) adalah serunai syaitan (HR Muslim)

Ketujuh: Membersih suasana rumah dari salib. Ini kerana Nabi S.A.W. bersabda
 “Tidak membiarkan sesuatu di dalam rumahnya yang berbentuk salib, melainkan baginda memusnahkannya.” (H.R. al-Bukhari)

Kelapan: Membersih suasana rumah dari gambar-gambar dan patung-patung

Diriwayatkan ada seorang pematung yang sudah bertahun-tahun membuat sebuah patung. Setelah selesai, dia begitu terpesona dan tergila-gila dengan lekuk-lekuk tubuh patungnya. Dengan angkuhnya dia mengajak patungnya bercakap : “Marilah bercakap. Mari bercakap!!! Oleh itulah, Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini kelak di hari kiamat akan diseksa dan dikatakan pada mereka : “Hidupkan apa yang telah kalian ciptakan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan: Membersih suasana rumah dari anjing

Kesepuluh: Memurnikan suasana rumah dengan memperbanyakkan solat sunat di dalamnya

Kesebelas: Menyerikan rumah dengan bicara indah serta senyuman mekar


Perisai 22: Doa Keluar Rumah
 “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.”
(H.R. Abu Daud, tirmidzy dan Nasai)
Barangsiapa membaca doa ini ketika keluar rumah maka ia tidak akan diganggu syetan dan terhindar dari bencana



Perisai 23: Doa Masuk Masjid

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
 “Bahwasanya beliau apabila masuk ke masjid maka beliau membaca,
 (aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan dengan Wajah-Nya yang Maha Mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang Qadim (dahulu tidak ada awalnya), dari gangguan setan yang terkutuk).” Dia bertanya (Abdullah bin Amr), “Apakah itu saja?” Aku menjawab (Uqbah bin Muslim), “Ya!” Dia (Abdullah bin Amr) kemudian meneruskan, “Barangsiapa membaca itu, maka setan akan berkata kepadanya, “Dia terjaga dariku sehari ini penuh.” (HR. Abu Daud no. 466 dan sanadnya dinyatakan hasan oleh Ibnu Baz dalam At-Tuhfah hal. 30)

Perisai 24: Doa keselamatan dari bencana kemudaratan
Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang diciptakanNya (HR Muslim)

Perisai 25: Doa keselamatan dari bencana kemudaratan
 “Dengan menyebut nama Allah yang dengan keagungan nama-Nya itu menjadikan sesuatu tidak berbahaya baik yang ada di langit atau di bumi, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (HRat-Tarmidzi)

Perisai 26: Doa Musafir Menjelang Malam

Abdullah ibnu Amru ra meriwayatkan bahawa apabila rasulullah dalam musafir dan malam mula menjelang, baginda berdoa:
Wahai bumi tuhanku dan tuhanmu adalah Allah. Aku berlindung kepada Allah dari segala keburukanmu, keburukan yang ada padamu, keburukan yang diciptakan ke atasmu dan dari segala keburukan yang merayap di atasmu. Aku berlindung kepada Allah dari singa, makhluk hitam, ular, kala jengking dan dari gangguan penghuni daerah ini serta yang beranak dan yang telah diberanakkan (HR Abu Daud)

Perisai 27: Berdoa Melabuhkan Diri Di Tempat Tidur

Dengan nama Allah aku labuhkan badanku. Ya Allah ampunilah segala dosaku, kuncikanlah syaitanku, langsaikanlah hutangku dan jadikanlah aku di tahap seruan yang paling tinggi (HR Abu Daud)

Perisai 28: Membaca basmallah
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Umar r.a.,
“Demi diriku di tangan-Nya, tidak ada suatu pun jejak langkah perjalanan yang ditemui oleh syaitan melainkan syaitan akan memanjangkan langkahnya (untuk mendapatkan yang empunya jejak langkah), melainkan jejak langkahmu.”
Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saad ibnu Abi Waqqas.

Salah seorang sahabat pernah bercerita, “Aku pernah membonceng di belakang Rasulullah s.a.w. mengenderai keldai. Tiba-tiba, sang keldai itu tergelincir lalu terpacul perkataan dari lidahku, ‘Bedebah syaitan!’ Lalu baginda bersabda,
“Jangan kamu berkata, ‘Bedebah syaitan,’ kerana kalau kamu berkata demikian, syaitan akan bertambah sombong dan bangga diri seraya berkata, ‘Ha-ha, aku berjaya menumpaskannya dengan kekuatanku.’ Akan tetapi kalau kamu berkata, ‘Bismillah,’ dirinya akan berasa cukup kerdil, bahkan lebih kerdil daripada lalat.”

Menurut Munziri r.h., hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanadnya hasan.

Perisai 29: Menghalang syaitan ketika menguap

Nabi saw bersabda:
 “ Dan janganlah seseorang itu berkata “aaaaaaaa” semasa menguap. Syaitan akan ketawa bila dia membuka mulut semasa menguap.” (HR Ahmad.)

Perisai 30: Rela Menerima Takdir Tuhan Tanpa Kecewa Dan Melampaui Batas

Firman Allah di dalam surah al-Imran ayat 156:
Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu (menjadi) seperti orang kafir itu, mereka mengatakan kepada saudara-saudara mereka yang melakukan perjalanan di bumi atau menuju ke medan perang: “Andainya mereka tinggal bersama-sama kami tentu sekali mereka tidak mati dan tidak terbunuh,” akibat (ucapan yang) demikian itu Allah menjadikan rasa penyesalan dalam hati mereka, padahal Allah yang menghidupkan dan mematikan. Dan Allah adalah al-Basir (Maha Melihat) apa yang kamu lakukan.

Perisai 31: Azan Untuk Halau Syaitan
Dari Abu Hurairah r.a. katanya;"Bersabda Rasulullah s.a.w: Apabila orang azan syaitan itu lari
sambil terkentut-kentut sampai ia tak mendengar suara azan itu; setelah azan selesai , syaitan itu kembali pula,
dal lari lagi takala ia mendengar suara iqamat, kemudian ia kembali lagi, dan ketika itu terlintaslah
dalam hati orang yang sembahyang berlbagai soal kerana syaitan itu membisikan kepadanya,
ingatlah ini, ingatlah itu tentang soal-soal yang tidak pernah diingatnya sebelum sembahyang,
sehingga orang itu ragu berapa rakaat yang telah sudah. Sabda Rasulullah s.a.w. pula ;
"Apabila di antara kamu ragu berapa rakaat yang telah sudah, hendaklah ia sujud dua kali sambil duduk."
(Hadis sahih riwayat Muslim)

Perisai 32: Berwuduk
Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan karena tidur dalam keadaan suci'" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

Perisai 33: Qiamulail (Solat Malam)
Dari Abdullah r.a katanya: ”Diceritakan kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki yang tidur sepanjang malam sampai Subuh. Maka bersabda baginda Rasulullah SAW: “Orang itu telah dikencingi oleh syaitan di kedua-dua telinganya.” (al-Bukhari)

Perisai 34: Tidak Meniru Perangai Syaitan

Bab Makan: Hendaklah menggunakan tangan kanan

Bersabda Rasulullah s.a.w: Jangan kamu makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri. (HR Muslim)

Bab memberi dan mengambil dengan tangan kanan

Bab Duduk Antara Pancaran Matahari dan Bayang
Rasulullah s.a.w: bersabda: Apabila salah seorang dari kalian berada dibawah matahari – Makhlad mengatakan : Berada dibawah terik cahaya matahari – dan bayangan yang menaunginya menjadi menyusut sehingga sebagian dirinya berada dibawah matahari dan sebagian lainnya dinaungi bayangan maka hendaknya dia berdiri “31
Dan pada riwayat Ahmad: “ hendaknya dia berpindah dari tempat duduknya “
Dan dari jalan Buraidah radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Bahwa Nabi melarang seseorang duduk diantara bayangan dan cahaya matahari “
Dan sebab dari larangan itu : bahwa majlis yang seperti itu adalah majlis syaithan, yang dengan sangat jelas disebutkan didalam riwayat Ahmad dan selainnya.

Bab Bertenang dan Tidak Terburu-buru
Rasulullah s.a.w: bersabda: "Bergopoh-gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah" (HR Tarmidzi)

Bab Sikap Tawaddu' (rendah Diri)
kerana sikap takabbur itu perangai iblis

Bab Membazir dan Boros
Firman Allah dalam surah al-Israa ayat 27:
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Perisai 35: Menjaga Diri Dari Rasa Sangsi (Was-was)
hadis di atas berkenaan pergerakan syaitan dalam badan manusia, ia secara lebih terperinci berlaku ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang beriktikaf di masjid dan isterinya Shafiyyah radhiallahu 'anha datang menziarahi baginda. Kemudian apabila Shafiyyah ingin pulang, Rasulullah mengiringinya hingga ke pintu masjid. Pada saat itu, dua orang sahabat dari kalangan Ansar radhiallahu 'anhuma berlalu dan nampak Rasulullah bersama seorang wanita. Mereka berdua tidak tahu siapakah wanita tersebut kerana para isteri Rasulullah memakai tudung yang juga menutupi muka. Untuk mengelakkan salah faham, Rasulullah memanggil dua lelaki tersebut dan menerangkan bahawa wanita yang bersamanya ialah Shafiyyah, isteri baginda. Kedua-dua lelaki itu menjawab: “Subhanallah!”, seolah-olah bermaksud: “Maha Suci Allah, tidaklah kami sekali-kali akan berburuk sangka kepadamu wahai Rasulullah!” Kemudian Rasulullah membalas:
 “Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah. Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan atau sesuatu sangkaan dalam hati kalian berdua (HR Muslim)

Perisai 36: Memerisai Diri Dengan Amalan Zikir
Firman Allah iaitu:
“Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu.” (Al Anfal: 45)

Isnin, 23 Jun 2014

Siri 1 : Perisai Dari Kejahatan Syaitan

Perisai-perisai Kebal Untuk Menangkis Serangan Syaitan

Tulisan ini dipetik dari salah sebuah kitab Syeikh Wahid Abdul Salam Bali seorang Ulama dari Mesir.
Serangan syaitan itu pelbagai . Sihir dan saka adalah salah satu darinya.  Tujuan saya kongsikan ialah untuk di amalkan oleh kita semua khususnya pesakit pesakit (kurang kemampuan untuk membeli kitab berkenaan atau sukar menemuinya) yang datang menemui saya.  Bagi yang bertujuan selain dari itu sila dapatkan kebenaran dari pihak penerbit kitab tersebut.

Perisai 1: Ikhlas

Ikhlas merupakan jalan utama untuk memboloskan diri dari serangan syaitan ke atas kita. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hijr Ayat 39-40:
“Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan jadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.’”

Iblis dan konco-konconya telah mengaku bahawa ia sangat lemah untuk menyesatkan orang-orang yang mukhlis. Siapakah orang mukhlis ini?
Menurut al Qurtubiy – “Orang mukhlis ialah orang yang kuat beramal dan tidak suka mendapat pujian daripada orang lain”
Menurut Ya’kub al Ma’kuuf – “Orang mukhlis ialah orang yang suka menyembunyikan amal kebaikannya”

Perisai 2: Menyempurnakan konsep Ubudiyyah

Syaitan tidak dapat menguasai orang-orang yang sentiasa merealisasikan ubudiyyah (pengabdian diri) kepada Allah. Merealisasikan ubudiyyah bermaksud melakukan ibadat kepada Allah, iaitu melakukan perkara yang diredhai oleh Allah samada secara zahir ataupun batin. Terdapat 4 jenis ibadat yang ditakrifkan oleh Ibnu Taimiyyah:

1) Ibadat anggota badan (seperti solat, puasa, haji)
2) Ibadat harta benda (seperti zakat, sedekah, korban)
3) Ibadat hati (seperti ikhlas, berdoa, kasih)
4) Ibadat lisan (seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa)

Perisai 3: Beriltizam Jemaah
Sabda Rasulullah saw lagi: “Kalaulah seseorang manusia itu benar-benar tahu akibat berjalan seorang diri, nescaya dia tidak akan berjalan seorang diri di malam hari” – Riwayat al Bukhari dan at Tarmiziy.

Rasulullah saw pernah menerangkan bahawa perpecahan itu adalah ciri-ciri syaitan. Sabda baginda: “Sesungguhnya sikap kalian berpecah-pecah ke lembah-lembah itu adalah sebenarnya daripada ciri-ciri syaitan” – Riwayat Abu Daud dan an Nasa’ie.

Perisai 4: Sentiasa Menjaga Solat Jemaah
Sikap cuai dan acuh tak acuh terhadap solat secara berjemaah adalah laluan utama syaitan untuk merosakkan seseorang individu muslim. Rasulullah saw bersabda:
“Tiadalah mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan solat secara berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang sahaja, melainkan telah dijajah oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri daripada puaknya.” – Riwayat Abu Daud.

Perisai 5: Beriltizam Dengan Al-Kitab Dan As-Sunnah
Sifat Beriltizam (terlibat dengan sungguh-sungguh/committed) dengan Al Kitab & As Sunnah adalah sebesar-besar jalan untuk mengawal diri daripada kejahatan syaitan. Beriltizam yang dimaksudkan adalah dengan cara menimba ilmu dan membuat amalan.

Mengikuti segala apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kita samada ianya berbentuk iktikad, amalan, percakapan, ibadat, syariat atau suruhan agar meninggalkan laranganNya berfungsi untuk membenteng kita daripada dikuasai syaitan. Firman Allah:

“Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” – Surah Al-Baqarah Ayat 208.

Perisai 6: Mohonlah Pertolongan Kepada Allah Daripada Ancaman Syaitan
Kita sama sekali tidak akan dapat mengalahkan syaitan melainkan dengan bantuan Allah. Perbualan berikut diriwayatkan daripada beberapa ulamak terdahulu:

Guru : Apa yang kamu lakukan pada syaitan apabila dia cuba mengacau kamu?
Murid : Saya menentangnya!
Guru : Kalau dia datang lagi?
Murid : Saya akan menentangnya juga!
Guru : Andaikata dia datang sekali lagi?
Murid : Saya akan tentangnya sekali lagi!!!
Guru : Kalau begitu, ianya akan berterusan. Apakah fikiran kamu kalau kamu melalui satu kawasan ternakan kambing, tiba-tiba anjing yang mengawal kambing-kambing menyalak-nyalak terhadap kamu, atau menghalang kamu daripada melalui kawasan itu?
Murid : Saya akan menyergah anjing itu.
Guru : Kalau begitu ianya akan berterusan. Ianya senang sahaja. Iaitu memadailah kamu meminta bantuan tuan kepada kambing dan anjing tersebut.

Kesimpulannya, apabila kita ingin membebaskan diri daripada dijajah oleh syaitan, maka kita perlu meminta bantuan pemiliknya atau penciptanya. Oleh itu mintalah pertolongan daripada Allah Maha Pencipta, pentadbir alam semesta.

Perisai 7: Perbanyakan Amalan Ketaatan

Memperbanyakkan amalan ketaatan boleh menyebabkan syaitan lebih terhina dan rendah martabatnya. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
“Apabila seseorang anak Adam membaca Al-Quran (yang mengandungi ayat) as Sajdah lalu dia turun bersujud (ketika sampai pada ayat sujud), syaitan akan lari mengasingkan diri sambil menangis dan berkata – ‘Aduhai malangnya! Dia (Allah) telah memerintahkan anak-anak Adam supaya bersujud, lalu dia turun bersujud maka baginya beroleh syurga. Aku juga telah diperintahkan agar bersujud tetapi aku menderhakainya, maka nerakalah bagiku’ ” – Riwayat Muslim.

Perisai 8: Mohonlah Perlindungan Dengan Isti’aadzah

Al Isti’aadzah ialah berlindung kepada Allah daripada segala kejahatan.
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”

Niat: Aku berlindung kepada Allah daripada gangguan syaitan yang direjam supaya ia tidak memudharatkan diriku, agama serta duniaku, atau memalingkan aku daripada apa-apa perbuatan yang telah Engkau perintahkan kepadaku, atau mengajak aku melakukan perkara-perkara yang telah Engkau larang.

Perisai 9: Memerisai Isteri, Anak-Anak Serta Harta Benda

Demikian juga bagi pengantin baharu, apabila hendak melakukan hubungan seks buat kali pertama, hendaklah suami memegang ubun-ubun isterinya lalu membaca doa berikut:
Maksudnya: “Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya”. (HR Abu Daud dan Ibn Majah)

 “Dengan Nama Allah, Ya Allah! Jauhkan kami dari setan, dan jauhkan setan untuk mengganggu apa yang Engkau rezekikan kepada kami.” (HR. Al-Bukhari 6/141, Muslim 2/1028.)

Perisai 10: Surah Al-Baqarah

Rasulullah saw bersabda: “Jangan jadikan rumah kalian itu seperti kubur kerana sesungguhnya rumah yang dibaca di dalamnya Surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan” – Riwayat Imam Ahmad, Muslim, at Tarmiziy.

Baginda juga bersabda: “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai puncaknya. Dan puncak bagi Al-Quran ialah Surah Al-Baqarah. Sesungguhnya syaitan apabila mendengar surah Al-Baqarah dibaca, nescaya ia akan keluar dari rumah yang dibaca surah tersebut” – Riwayat al Hakim.

Perisai 11: Ayat-ayat al-Kursi

Keterangan Surah Al-Baqarah Ayat 255 (Ayatul Kursi):

1. Ayat ini menceritakan tentang keesaan serta kekuasaan Allah yang mutlak dan tiada kesulitan sedikitpun bagiNya dalam memelihara segala ciptaanNya.
2. Beribu-ribu malaikat mengiringi ayat Kursii apabila ianya diturunkan kerana kebesaran dan kemuliaan ayat ini. Apabila diturunkan, terjadi kegoncangan di kalangan jin dan syaitan sehingga mereka semua ketakutan. Menurut Syeikh Abu Abdul al-Madyani, kegoncangan itu menyebabkan jin dan syaitan lari bertempiaran dan menyembunyikan diri ke dasar laut, dalam tanah, awan, hutan, gua dan sebagainya. Mereka menangis terjerit-jerit kerana terkejut dengan adanya sesuatu yang menjadi penghalang dalam perjuangan mereka untuk menggoda dan menyesatkan manusia.
3. Keseluruhan ayat Kursi apabila dibaca boleh membakar jin dan syaitan.

Perisai 12: Sepuluh Ayat Dari Surah Al-Baqarah
Ibnu Mas’ud r.a. telah berkata
“Sesiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah Al-Baqarah pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk ke dalam rumahnya pada malam tersebut. Ayat-Ayat tersebut ialah:
- 4 ayat terawal surah ini
- ayat al-kursi
- 2 ayat selepas ayat al-kursi
- 3 ayat terakhir surah ini”

Perisai 13: Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

Rasulullah saw telah bersabda: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah nescaya terselamatlah dari segala kejahatan” – Riwayat al Jamaah

Rasulullah saw juga telah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan satu ketetapan dua ribu tahun sebelum penciptaan kejadian langit dan bumi iaitu dua ayat yang menjadi penutup bagi surah al-Baqarah. Syaitan tidak akan mendekati rumah yang ada dibaca di dalamnya dua ayat tersebut selama tiga malam berturut-turut” – Riwayat at Tarmiziy dan al Hakim.

Saidina Ali ra berkata: “Tidaklah aku melihat seseorang itu benar-benar berakal melainkan dia membaca tiga ayat terakhir dari surah al-Baqarah sebelum dia melelapkan matanya”

Perisai 14: Al-Muawwidzat

Aisyah ra meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah saw apabila mahu merebahkan badannya ke tempat tidurnya, tiap-tiap malam baginda akan membaca ayat Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian ditiupkan pada kedua tapak tangannya lalu disapukan pada seluruh badan, iaitu bermula dari arah kepala dan mukanya seterusnya ke bahagian anggota badan yang lain. Hal itu diulangnya sebanyak tiga kali berturut-turut.” – Riwayat Bukhari dan Tarmiziy

Abdullah ibnu Khubaib ra meriwayatkan:
“Kami pernah keluar pada satu malam yang gelap gelita dan hujan lebat lantaran mencari Rasulullah saw untuk mengimamkan solat. Akhirnya kami berjumpa dengan baginda. Baginda berkata ‘Ucapkanlah’. Tetapi aku tidak mengucapkannya. Baginda berkata lagi ‘Ucapkanlah’. Tetapi aku tidak mengucapkannya. Kali ketiga baginda berkata lagi ‘Ucapkanlah’. Aku kemudiannya bertanya ‘Apakah yang harus saya ucapkan wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab ‘Ucaplah Qulhuallahuaha serta dua surah pelindung yang lain ketika melewati waktu pagi dan petang sebanyak 3 kali berturut-turut kerana ianya sudah memadai sebagai pelindung dari segala perkara (kejahatan) – Riwayat Abu Daud, an Nasa’ie dan Tarmiziy.

Perisai 15: Mengamalkan zikir ‘Laa ilaha illallahu wahdahu laa syariikalah, lahulmulku walahulhamdu
wahuwa ala kulli syai’inqadir’
Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa yang menyebut ‘Laa ilaha illallahu wahdahu laa syariikalah, lahulmulku walahulhamdu wahuwa ala kulli syai’inqadir’ dalam satu hari sebanyak 100 kali, ia adalah menyamai sepuluh perwira gagah perkasa (untuk menjadi pengawal dirinya), ditulis baginya seratus kebaikan dan dihapuskan darinya seratus kejahatan. Ia adalah perisai kebal (untuk mengawal dirinya) dari kejahatan syaitan sepanjang hari tersebut sehinggalah melewati waktu petang. Tidak ada sesiapa yang terlebih baik amalannya berbanding zikir ini melainkan seseorang itu benar-benar banyak beramal.” – Riwayat al Bukhari dan Muslim

Perisai 16: Menunduk Pandangan Mata

Ibnu Qayyum rh berkata:
“Pandangan mata itu boleh menyebabkan timbulnya rasa keselesaan dan keindahan. Apabila objek yang dilihat itu menarik, maka ia pasti akan terlekat di dalam jiwa dan fikiran pun mula sibuk memikirkannya.”

Perisai 17: Menjaga Lidah Dari Menabur Fitnah
Rasulullah saw bersabda:
“Berapa ramai manusia terhumban ke lembah neraka disebabkan kecelakaan lidah-lidah mereka” – Riwayat at Tarmiziy dan al Hakim.

Lidah ke 1: Menjaga Lidah Dari Tergolong Sebagai Lidah Bercabang Dua
 “Barangsiapa yang mempunyai dua muka di dunia, maka pada Hari Kiamat kelak dia akan diberi dua mulut dari api neraka.” (HR. Abu Dawud dan Ad-Darimi dari Ammar bin Yasir)

Lidah ke 2: Menjaga Lidah Dari Membicarakan Apa Yang Berlaku Di Antara Anda dan Isteri Anda
Diriwayatkan dalam sebuah hadith oleh Abu Sa’id Al-Khudry bahwa Rasulullah SAW bersabda :
“Sungguh di antara orang yang paling buruk di hadapan Allah SWT pada saat hari kebangkitan adalah laki-laki yang mendatangi isterinya untuk melakukan hubungan badan, dan dia menceritakan rahsia itu (tentang hubungan badan) kepada yang lain.” (HR Muslim)

Lidah ke 3: Menjaga Lidah Dari Bernyanyi-nyanyi
Firman Allah:
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. (Luqman: 6)

Lidah ke 4: Menjaga Lidah Dari Bersumpah Lain Dari Nama Allah
Dari ibnu Umar ra bahawasanya ia mendengar seorang lelaki berkata: "Tidak, demi Ka'bah. "Lalu Ibnu Umar berkata: "Janganlah engkau bersumpah dengan selain Allah, sebab sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka ia dapat menjadi kafir atau musyrik." (HR At-Tirmizi)

Lidah ke 5: Menjaga Lidah Dari Bersumpah Dengan Ucapan Pengakuan Untuk Keluar Dari Agama Islam
Dari Thabit Ibnu Dohhak, Rasulullah bersabda:
Barangsiapa bersumpah dengan [engakuan bahawa dia bukan di atas agama Islam secara menipu, maka kedudukannya seperti telah dia ucapkan (Riwayat as-Sittah- Bukhari, Muslim dll)

Lidah ke 6: Menjaga Lidah Dari Mencerca Ayam Jantan
Rasulullah bersabda:
Jangan kamu mencerca ayam jantan kerana ia sebenarnya mengejutkan kamu supaya bersolat (HR Abu Daud, Ibnu Hibban dan Bazzar, sanad Abu Daud disahkan sahih oleh an-Nawawiy)

Lidah ke 7: Menjaga Lidah Dari Mencerca ad-Dahr (Hari dan Waktu)
Hadis Abu Hurairah r.a katanya, aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Anak Adam selalu mencaci-maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam berada di tanganKu (HR Bukhari dan Muslim)

Lidah ke 8: Menjaga Lidah Dari Mencerca Angin
Dari Ubay bin Ka’ab RA, dia mengatakan, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian mencaci angin. Jika kalian menghadapi angin yang tidak kalian sukai, ucapkanlah,
 ‘Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan angin ini, kebaikan yang terdapat di dalamnya, dan kebaikan pada apa yang diperintahkan padanya. Dan kami berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang terdapat di dalamnya, dan keburukan pada apa yang diperintahkan padanya’.”

Lidah ke 9: Menjaga Lidah Dari Mencerca Sakit demam Panas
Beliau SAW juga melarang mencaci sakit demam. Dari Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW menemui Ummu Saib atau Ummu Musayyab, lantas bertanya, “Hai Ummu Saib,” atau, “Hai Ummu Musayyab, kenapa kamu gemetar?”
Dia menjawab, “Demam, tidak ada keberkahan Allah padanya.”
Beliau bersabda, “Jangan mencaci demam, sesungguhnya ia menghapus kesalahan-kesalahan manusia sebagaimana tempaan api menghilangkan kotoran pada besi.”

Lidah ke 10: Menjaga Lidah Dari Berdusta Dalam Penyaksian
Hadis Abu Bakrah r.a bahawa Nabi SAW disebut di sisinya dosa-dosa besar. Baginda bersabda: ‘Mensyirikkan Allah, derhakakan kedua ibu bapa’ Semasa Rasulullah bersabda, Baginda sedang bersandar lalu duduk dan bersabda: ‘kata-kata palsu dan bersaksi palsu.’ Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Kalaulah Baginda berhenti dari menyebutnya. (HR Bukhari dan Muslim)

Lidah ke 11: Menjaga Lidah Dari Mengungkit Pemberian Sedekah
Friman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (Al Baqarah: 264)

Lidah ke 12: Menjaga Lidah Dari Mencerca Diri Sendiri
Sahl ibnu Haniff mengatakan, Rasulullah SAW bersabda,
Jangan sesekali salah seorang dari kamu berkata "Buruk betul aku ini". (HR Bukhari dan Muslim)

Lidah ke 13: Menjaga Lidah Dari Pengakuan Bohong
Ibnu Mas'ud ra mengatakan, Rasulullah SAW bersabda,
barangsiapa yang bersumpah mengaku harta seseorang muslim yang lain sebagai hartanya dan bukan harta si muslim itu, nescaya akan mendapat kemurkaan Allah apabila bertemu denganNya nanti (HR Bukhari dan Muslim)

Lidah ke 14: Menjaga Lidah Dari Memuliakan Orang Fasik, Bidaah dan Munafik
Rasulullah saw bersabda: “Jangan kalian mengucapkan ‘TUAN’ kepada orang munafik kerana sekiranya dia benar-benar menjadi ‘tuan’, nescaya Allah akan memarahi kalian.” – Riwayat Abu Daud

Lidah ke 15: Menjaga Lidah Dari daripada mengucapkan ‘DAN’ yang boleh membawa syirik
(Contohnya bila berkata ‘Tiada siapa dapat menolong aku kecuali Allah dan awak sahaja’).
Rasulullah saw bersabda: “Jangan sekali-kali kalian berkata: ‘Terserahlah kepada kehendak Allah DAN kehendak si polan’. Sebaliknya sebutlah: ‘Terserahlah kepada kehendak Allah dan KEMUDIAN kehendak si polan’.” – Riwayat Abu Daud

Lidah ke 16: Menjaga Lidah Dari Menyebut Hujan Ini Disebabkan Kedudukan Cakrawala Begini...
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Abdullah ibn Abbas menceritakan telah berlaku hujan lebat di kota
Madinah pada suatu hari. Ketika itu nabi bersabda, "Akan ada yang bersyukur dengan hujan ini dan akan ada pula yang
kafir. Akan ada yang mengatakan ia turun kerana Rahmat Allah dan ada yang akan mengatakan bahawa hujan ini turun
disebabkan bintang tertentu (Nau')."

Lidah ke 17: Menjaga Lidah Dari Memperlecehkan Makanan
Abu Hurairah ra meriwayatkan “Rasulullah saw tidak pernah memperlecehkan makanan. Sekiranya terliur, Baginda akan makan dan kiranya tidak, Baginda akan meninggalkannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Lidah ke 18: Menjaga Lidah Dari Berbisik
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu ada tiga orang, maka janganlah dua orang di antara kamu berbisik-bisik tanpa disertai oleh seorang lagi sehingga mereka bergabung dengan orang ramai agar tidak membuatnya sedih. (Sahih Muslim)

Lidah ke 19: Menjaga Lidah Dari Menyebut Di Dalam Masjid Terhadap Kehilangan Harta Benda
Dari Abu Hurairah ra berkata Rasululah saw bersabda “Barangsiapa mendengar seseorang yang mencari-cari barang ysng hilang di dalam masjid maka hendaknya dia berdo’a ‘Semoga Allah tidak mengembalikan barang itu kepadamu’ kerana masjid-masjid itu tidak dibangun untuk hal ini’.” (HR Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ad-Daarimiy)

Lidah ke 20: Menjaga Lidah Dari Menyeru Pertolongan Selain Allah
Terdapat di dalam masyarakat kita hari ini merayu pertolongan seperti “Ya Rasulullah”, “Ya Syeikh Abdul Kadir al Jailaniy”. Kesemua bentuk seruan ini adalah salah dan keji kerana telah mensyirikkan Allah.
Rayuan memohon pertolongan tidak boleh ditujukan kepada selain Allah walau setinggi mana martabatnya baik malaikat, rasul, nabi atau mana-mana orang soleh.

Lidah ke 21: Menjaga Lidah Dari Memohon Pertolongan Selain Allah
Ibnu Mas'ud ra mengatakan, Rasulullah SAW bersabda,
“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (HRTabrani dan Baihaqi)

Perisai 18: Perisai Menjaga Perut

Pertama: Menjaga Perut Dari Memakan Riba
Ibnu Mas'ud ra mengatakan, Rasulullah SAW bersabda,
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya.” (HR Muslim)

Kedua: Menjaga Perut Dari Memakan Rasuah
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk neraka.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Ketiga: Menjaga Perut Dari Memakan hasil jualan anjing dan hasil dari penzinaan
Dalam hadist yang lain riwayat Ibnu Mas'ud beliau berkata:
"Sesungguhnya Nabi Saw melarang (makan) harga anjing, bayaran pelacur dan hasil perdukunan". (HR.Al Jama'ah)

Keempat: Menjaga Perut Dari Memakan harta anak yatim
Dosa besar berikutnya adalah: memakan harta anak yatim. Tentang hal ini Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)". (An Nisaa: 10)

Kelima: Menjaga Perut Dari Memakan harta benda yang masih syubahat hukum-hakamnya
Dari Abu Muhammad, Al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya r.a yang berkata : " Aku menghafal dari Rasulullah SAW : ' Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada yang tiada meragukanmu. " (HR tarmidzi)

Keenam: Menjaga Perut Dari Menelan Segala Bentuk Perkara Haram
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. (Al-Baqarah: 172)

Ketujuh: Menjaga Perut Dari Terlalu Kenyang Dengan Makan
Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“Rasulullah SAW kedatangan seorang tamu orang kafir. Rasulullah SAW menyuruh perah seekor kambing untuk sang tamu, lalu diminum habis oleh tamu tersebut. Kemudian, baginda suruh perah seekor lagi, lalu diminumnya habis pula. Kemudian disuruhnya perah seekor lagi, habis pula diminumnya. Sehingga akhirnya dia meminum habis susu tujuh ekor kambing. Keesokkannya, dia masuk Islam. Rasulullah SAW memerintahkan supaya diperah seekor kambing untuknya. Susu itu diminumnya habis. Kemudian disuruh Nabi SAW supaya diperah seekor lagi lalu diberikan pula kepadanya, tetapi dia tidak sanggup menghabiskannya.
Maka bersabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin minum dengan satu perut, dan orang kafir minum dengan tujuh perut”.” (Sahih Muslim)

Perisai 19: Menjaga Kemaluan

Pertama: Menjaga Kemaluan Dari Berzina
Abu Hurairah ra berkata, bersabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seseorang itu berbuat zina ketika melakukannnya sedang ia dalam keadaan beriman, Tidaklah seseorang itu pencuri ketika melakukannnya sedang ia dalam keadaan beriman, Tidaklah seseorang itu peminum arak ketika melakukannnya sedang ia dalam keadaan beriman" (HR Bukhari dan Muslim)

Kedua: Menjaga Kemaluan Dari Liwat
Jabir ra berkata, bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya aku bimbang berlaku dalam umatku nanti amalan kaum nabi luth" (HR Tirmidzy dan Ibnu Majah)

Ketiga: Menjaga Kemaluan Dari Berzina Dengan Binatang
Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa bersabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang menyetubuhi binatang maka hendaklah kamu membunuhnya dan membunuh binatang itu bersama-samanya. (HR Ibnu Majah)

Keempat: Menjaga Kemaluan Dari Bersetubuh Dengan Isteri Dalam Keadaan Haid
Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat.” Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (al-Baqarah:222)

Menurut sesetengah ulama, anak pondan terhasil dari persetubuhan isteri yang sedang haid.

Kelima: Menjaga Kemaluan Dari Melancap dan perbuatan Lesbian
Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T.:
"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." (Al Mukminun: 5-6).

Perisai 20: Mengawal Tangan

Pertama: Jangan mengacukan senjata
Sabda Nabi s.a.w. :
 “Janganlah seseorang kamu mengacukan kepada saudaranya dengan senjata. Kemungkinan dia tidak menyedari bahawa syaitan akan menarik tangannya lalu dia terjatuh dalam lubang neraka”. (Riwayat Bukhari).

Kedua: Membunuh sesama muslim
Diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda:
Apabila ada dua orang Islam yang bertengkar dengan menggunakan pedang masing-masing, orang yang membunuh dan orang yang terbunuh sama-sama akan memasuki neraka. Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Orang yang membunuh sudah sepatutnya dia memasuki neraka tetapi kenapa orang yang terbunuh juga memasuki neraka? Baginda menjawab: Kerana dia terlalu berkeinginan untuk membunuh kawannya. (HR Bukhari dan Muslim)

Ketiga: Membunuh Diri Sendiri
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. yang bermaksud:
“Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Keempat: Bersalaman Dengan Bukan Ajnabi (bukan Mahram)
Al-Iraqi berkata, "Jika nabi saja tidak melakukan hal itu, padahal beliau adalah orang yang maksum dan terhindar dari dorongan syahwat, tentu orang selain beliau lebih tidak boleh lagi melakukannya." Hadits tersebut diperkuat oleh hadits dari Ma'qil bin Yasar dia berkata:
"Sesungguhnya Rasululah S.A.W. bersabda, Seandainya kamu ditusuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik bagimu daripada menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu." (Diriwayatkan oleh Thabrani dan Baihaqi, dan para perawi Thabrani adalah orang-orang yang terpercaya dan sahih)

Kelima: Memakai Emas (Lelaki)
Rasulullah saw. telah melarang kaum laki-laki memakai cincin emas. Dari Al-Bara’ bin Azib Ra meriwayatkan bahwa ketika Rasulullah saw. melihat seorang laki-laki memakai cincin emas di tangannya, maka beliau memintanya supaya mencopot cincinnya, kemudian melemparkannya ke tanah, seraya bersabda. "Salah seorang dari kalian sengaja mengambil bara api neraka dan meletakkannya di tangannya". (Hadits Riwayat Muslim dalam kitab Shahihnya, 2090).

Keenam: Bermain Dadu
Alasan dadu ini haram mengikut Ulama yang mengharamkannya menurut hadith yang diriwayatkan oleh Buraidah bahawa Rasulullah SAW;
"Barangsiapa bermain dadu , maka seolah-olah dia mencelupkan tangannya dalam daging babi dan darahnya. "(Riwayat Muslim)


Bersambung Insha Allah

Rabu, 18 Jun 2014

Kisah Jin Islam Menuntut Ilmu Di Masjid Nabawi

Saya pernah mendengar kisah Jin Islam menuntut ilmu di Masjid Nabawi seperti yang diceritakan oleh Tuan Guru Ustaz Abu Anas Madani. Beliau adalah seorang pendakwah yang terkenal di tanahair. Ustaz Dr. Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman atau terkenal juga dengan nama penanya Abu Anas Madani.

Kisahnya adalah seperti berikut. Guru Abu Anas iaitu Syeikh   ‘Atiyah Muhamad Salim(Guru di Masjid Nabawi)   menceritakan kisah ini kepada beliau.  Syeikh ‘Atiyah Muhamad Salim pula mendengar pengalaman peribadi gurunya iaitu Syeikh Abdul Aziz As Soleh(Imam Masjid Haram yang datang mengajar di Masjid Nabawi).

Satu malam apabila Syeikh Abdul Aziz menamatkan pengajaran sebuah kitab .Menjadi tradisi , murid-murid beliau bersalaman bagi menyatakan terima kasih dan memohon barakah ilmu dari Allah swt. Selepas solat Isya, semasa berjalan pulang kekediamannya di pertengahan jalan, syeikh mendengar salam dari suara yang ramai tanpa melihat sesuatu. Selepas menjawab salam berlakunya dialog seperti di bawah:
Syeikh  :  “ Siapa kamu?”
Suara   :  “ Kami adalah murid-murid tuan.”
Syeikh : “ Murid di mana?”
Suara  : “ Murid tuan di Masjid Nabawi. Malam ini kami bergembira kerana telah khatam sebuah kitab yang tuan ajarkan. Kami datang ingin mengucapkan terima kasih dan minta tuan halalkan ilmu.Kami akan balik ke kampong kami untuk mengajarkan ilmu ini.”

Bahkah menurut Syeikh ‘Atiyah di antara tempat yang ramai saudar kita jin Islam adalah di Madinah. Sebuah kisah yang menarik. Bahawa Jin Islam juga belajar ilmu dan berdakwah. Mereka juga mempunyai akhlak yang tinggi.


Sedutan dan ringkasan dari Kuliah Tuan Guru Abu Anas Madani .  http://www.youtube.com/watch?v=U0n5rh90Yec&feature=youtu.be