Bagi mereka yang terlibat dengan perubatan Ruqyah Syari'ah,
fenomena 'menemui' Jin yang mengganggu pesakit adalah lumrah. Jin itu dikaitkan
dengan khadam sihir. Sihir dan Jin tidak dapat dipisahkan, barangkali seperti
irama dan lagu. Bahkah ada ulama mendefinasikan bahawa Sihir itu adalah
perbuatan yang mendekatkan diri dengan syaitan.
Ulamak atau para asatizah yang saya pelajari ilmu rawatan
dengan mereka setakat yang saya tahu tidak membawakan dalil Al-Quran mahupun
hadith bahawa Sihir itu mempunyai khadamnya dikalangan Jin. Puluhan kitab yang
berkaitan dengan 'rawatan Islam' yang sempat ditelaah, samada yang ditulis oleh
ulama silam dari Timur Tengah mahupun ulamak semasa belum pernah lagi saya
menjumpai hadith yang mengatakan sihir mempunyai khadam dikalangan Jin. Bahkan
kitab hadith soheh Bukhari dan Muslim yang sempat saya baca juga belum pernah
saya temui fakta tersebut. Jika anda yang membaca tulisan ini dan mengetahui
ada hadith mengenainya, besar harapan saya supaya membantu saya. Hadith yang
paling hampir mengenai kaitan syaitan dengan gangguan penyakit adalah hadith
Nabi saw merawat penyakit gila dengan memerintahkan Jin keluar dari tubuh
sisakit.(rujuk tulisan saya sebelum ini). Namun begitu pengalaman/fenomena
menemui 'khadam jin' hampir pasti.
Banyak penyakit manusia yang berpunca dari micro organisma dari keluarga bakteria,fungus dan virus. Al Quran dan Al Hadith tidak menyebut jenis-jenis kuman ini secara khusus. Aqal yang dianugerah kepada manusia dan ilham dari Allah swt akhirnya manusia menjumpai pelbagai jenis bakteria, virus dan fungus serta kesannya kepada kesihatan insan. Bahkan manusia masih terus meneroka dan mengkaji. Pun begitu, jin yang dijadikan khadam sihir oleh syaitan tidak dinyatakan secara khusus dan jelas oleh Nas Al Quran dan Hadith, namun pengalaman dan kajian manusia, ilmu ini semakin terbuka dari hari ke hari. Satu hari nanti inshaAllah sihir boleh difahami oleh manusia secara sistematik.
Banyak penyakit manusia yang berpunca dari micro organisma dari keluarga bakteria,fungus dan virus. Al Quran dan Al Hadith tidak menyebut jenis-jenis kuman ini secara khusus. Aqal yang dianugerah kepada manusia dan ilham dari Allah swt akhirnya manusia menjumpai pelbagai jenis bakteria, virus dan fungus serta kesannya kepada kesihatan insan. Bahkan manusia masih terus meneroka dan mengkaji. Pun begitu, jin yang dijadikan khadam sihir oleh syaitan tidak dinyatakan secara khusus dan jelas oleh Nas Al Quran dan Hadith, namun pengalaman dan kajian manusia, ilmu ini semakin terbuka dari hari ke hari. Satu hari nanti inshaAllah sihir boleh difahami oleh manusia secara sistematik.
Di bawah ini saya kongsikan sebuah artikel Utusan Malaysia
yang membicara topic ini. Alhamdulillah buku “Ahli Sihir ke Tali Gantung” juga
telah habis saya telaah. Beliau bukan berbicara soal khadam sihir sahaja bahkan
kaedah bagaimana untuk mengheret ahli sihir ke mahkamah.
UTUSAN
MALAYSIA ARKIB : 20/06/2013
Bongkar sihir
dengan sains
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Jenayah sihir telah
diamalkan sejak dahulu, namun masih tiada undang-undang bagi menyekat kesalahan
itu . - Gambar hiasan
LULUHNYA hati seorang mangsa apabila penjenayah atau tertuduh yang
terang-terangan bersalah tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan, malah
dibebaskan tanpa jaminan oleh pihak mahkamah.
Bukan hanya satu atau dua, tetapi dikatakan terdapat pelbagai
kejadian seumpama yang diklasifikasi sebagai kes jenayah dan sivil itu
dilaporkan ke muka pengadilan, namun terlepas begitu sahaja.
Sebabnya, tiada isu atau bukti kukuh yang dapat diketengah bagi
membuktikan tertuduh benar-benar bersalah. Badan kehakiman hanya memutuskan apa
yang zahir di hadapan mereka.
Akhirnya, pesalah tersenyum puas kerana motif perbuatan tercapai
kesan daripada ketiadaan bukti kukuh bagi menyabitkan kesalahan yang dilakukan.
Manakala, mangsa pula terpaksa terus hidup dalam menderita.
Inilah dilema yang berlaku apabila jenayah yang dilakukan di luar
logik akal manusia iaitu membabitkan unsur ilmu sihir.
Sehingga dilaporkan terdapat kes jenayah sihir yang mengakibatkan
maut mahupun derita sepanjang hayat.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan
Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mahyuddin
Ismail berkata, isu jenayah membabitkan sihir yang dilihat semakin
serius boleh diatasi dengan mewujudkan satu undang-undang khas bagi
menanganinya.
Beliau yang juga mengetuai unit kajian khas dalam meneliti
undang-undang sihir berkata, kaedah pembuktian dan pendakwaan yang menjadi
keraguan utama dalam kes membabitkan sihir juga diyakini mampu diselesaikan
melalui kaedah yang telah dipersetujui.
Kaedah tersebut katanya, melalui gabungan kepakaran antara
pengamal perubatan Islam dan juga pakar sains.
"Kepakaran pengamal perubatan Islam itu daripada Gabungan
Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Gapimma). Pakar sains pula adalah dengan
kerjasama ahli forensik dan juga peralatan teknologi bio-feedback.
"Setiap mangsa yang disihir mempunyai 'khadam sihir' kepada
tuannya yang juga penghantar sihir itu ke dalam tubuh mangsa.
"Gapimma bertindak mengenalpasti tuan yang menghantar khadam
sihir tersebut melalui pengakuan mangsa semasa proses rawatan yang ketika itu
sedang dikawal oleh khadam sihir.
"Pengakuan daripada mulut mangsa akan dirakamkan untuk
dijadikan bukti sebelum langkah seterusnya dijalankan.
"Manakala, bahan yang dihantar oleh penyihir seperti rambut, kuku,
kaca dan sebagainya yang diperoleh ketika rawatan pula akan disiasat oleh
Jabatan Forensik melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Ini untuk
mengenalpasti pemilik, penyimpan dan penghantar barangan itu.
"Seterusnya, teknologi bio-feedback pula digunakan
bagi menguji dan melihat tindak balas mangsa melalui isyarat atau tanda yang
diterima daripada tubuh mangsa menerusi alat tersebut," kata Dr. Mahyuddin
ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambahnya, alat pengesanan bio-feedback yang
telah diuji keberkesanannya itu dinilai melalui enam aspek iaitu gelombang
otak, teknik pernafasan, denyutan hati, tindak balas kulit, ketegangan otot,
dan juga peluh tubuh.
Bagaimanapun katanya, keputusan yang diperoleh daripada siasatan
ketiga-tiga kaedah itu perlu selari dan menunjukkan kesan yang benar sebelum
diklasifikasikan dalam jenayah sihir.
"Jika rawatan daripada Gapimma mengesahkan bahawa seseorang
itu disihir dan mengenalpasti siapa dalang di sebalik kejadian itu, maka ujian
forensik dan pengesanan bio-feedback juga harus selari dengan dalang yang
dikenalpasti itu," katanya.
Mahyuddin berkata, penjenayah sihir sama ada penghantar sihir dan
individu yang mengupah ahli sihir tidak lagi bebas melakukan perbuatan tersebut
sewenang-wenangnya dengan wujudnya undang-undang tersebut.
Muhyiddin yang juga penulis buku Ahli Sihir ke Tali
Gantung berkata, jenayah sihir sekiranya dibiarkan tanpa sebarang
tindakan akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk.
Ini katanya berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 69 peratus rakyat
Malaysia menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PTK)
berbanding perubatan moden.
"Walaupun pada zaman moden, jenayah membabitkan sihir dilihat
semakin popular. Sihir menjadi pilihan kerana merupakan kaedah halus untuk
menjatuhkan seseorang dengan mudah dan lebih berkesan malah tanpa disyaki.
"Begitu juga statistik kes penipuan oleh bomoh pada 2012 yang
dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian yang
dialami mangsa meningkat 63.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu
melibatkan amaun RM12,494,665.27.
"Berleluasanya kes-kes sebegini memerlukan satu pendekatan
yang holistik untuk membanterasnya kerana selain menipu, ada juga pengamal yang
menawarkan khidmat sihir atas nama perawat tradisional dan komplementari,"
katanya.
Oleh itu, Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya sebuah akta bagi
menyekat kebebasan jenayah membabitkan sihir perlu diwujudkan melalui penubuhan
undang-undang sihir.
Nyata kesediaan
Dr. Muhyiddin berkata, kajian secara dasar mengenai isu-isu
penguatkuasaan, pendakwaan, pembuktian dan kepakaran daripada akar umbi untuk
menubuhkan undang-undang tersebut telah diadakan dan rata-rata pihak terlibat
menyatakan kesediaan dalam mewujudkan akta tersebut.
"Sesi perbincangan secara berkala dengan pihak berkuasa
seperti bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
(JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim), Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan
Jabatan agama Islam Negeri telah pun diselaraskan.
"Ini bertujuan pengemaskinian prosedur, tatacara dan aspek
teknikal dalam pelaksanaan undang-undang tersebut. Dan kesemua badan berkenaan
menunjukkan persetujuan dan memberi jawapan positif.
"Saya yakin, melalui geran Program Pemindahan Ilmu yang
diluluskan, isu-isu tersebut akan dapat diperhalusi dan diselesaikan oleh
mereka yang pakar dalam bidang tersebut," jelas Dr. Mahyuddin.
Manakala, daripada segi penguatkuasaan dan pendakwaan diakui masih
kurang berkemahiran. namun dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang
terlibat, latihan dan pendedahan boleh diberikan selain mewujudkan Prosedur
Kendalian Standard (SOP) khas, ini boleh diatasi.
"Daripada segi kepakaran pula, saya tidak berasa ia suatu
yang sukar untuk diwujudkan kerana ramai pakar-pakar perubatan PTK yang sedia
untuk membantu. Cuma yang menjadi isunya ialah pengiktirafan oleh pihak
berkuasa.
"Alhamdulillah dengan adanya Bahagian Perubatan Tradisional
dan Komplemetari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia, berupaya menjadi salah
satu badan rujukan dalam perlaksanaannya.
"Selain itu, Gappima sendiri telah menyatakan pendirian untuk
membantu pihak kerajaan untuk memerangi jenayah sihir dan perkara ini telah
dijadikan sebagai salah satu agenda perjuangan mereka.
"Namun, saya tetap menaruh harapan agar isu ini diberi
perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana terdapat kes-kes jenayah
yang melibatkan sihir seperti menipu, mencuri, menceroboh, merompak, merogol
menggunakan ilmu sihir berbentuk pukau.
"Jika penggunaan sihir pukau tidak dibanteras, maka
jenayah-jenayah tersebut akan dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa sebarang
tentangan daripada mangsa," ujar Dr. Mahyuddin.
Beliau mencadangkan, pada peringkat awal akta tersebut boleh
dilaksanakan melalui kes jenayah membabitkan sihir di dalam pernikahan dan
perceraian.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130620/ba_01/Bongkar-sihir-dengan-sains#ixzz3IdPJb5MW
© Utusan Melayu (M) Bhd